Maulidur Rasul mengingatkan hati umat Islam kepada kelahiran insan paling mulia, Nabi Muhammad SAW, yang membawa cahaya Islam kepada seluruh manusia.

Dalam kesempatan memperingati Baginda, ada yang ingin melakukan ibadah tambahan termasuk berpuasa.

Namun, timbul persoalan, boleh ke puasa sempena Maulidur Rasul dan adakah terdapat puasa khas yang disyariatkan pada hari tersebut?

Jawapannya, umat Islam diharuskan berpuasa pada hari tersebut, tetapi tidak boleh menganggapnya sebagai satu puasa khas yang ditetapkan syarak.

Maulidur Rasul Ada Puasa Khas Atau Tidak?

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, tidak terdapat dalil khusus yang menetapkan galakan berpuasa pada hari kelahiran seseorang atau menjadikan tarikh tertentu sebagai puasa khas.

Namun, berpuasa pada hari tersebut tidak menjadi kesalahan sekiranya ia dilakukan sebagai puasa sunat yang memang dibenarkan syarak.

Ini bermakna, Maulidur Rasul tidak menjadikan sesuatu tarikh itu secara automatik sebagai hari puasa khusus.

Sebaliknya, seseorang boleh berpuasa kerana ia termasuk dalam amalan sunat secara umum atau kerana tarikh tersebut bertepatan dengan hari yang memang dianjurkan untuk berpuasa.

Maulidur Rasul Jatuh Hari Isnin, Boleh Puasa?

Jika Maulidur Rasul bertepatan dengan hari Isnin, umat Islam boleh mengambil kesempatan untuk melakukan puasa sunat Isnin.

Amalan ini mempunyai sandaran yang jelas daripada sunnah Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengambil berat tentang berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Malah, apabila ditanya tentang puasa pada hari Isnin, Rasulullah SAW menjelaskan:

فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ

Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) kepadaku.”
(Riwayat Muslim, no. 1162)

Hadis ini menunjukkan kaitan hari Isnin dengan kelahiran Baginda SAW dan amalan puasa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Maulidur Rasul Jatuh Hari Khamis Atau Hari Putih

Selain Isnin, jika Maulidur Rasul bertepatan dengan hari Khamis, seseorang boleh berpuasa dengan niat puasa sunat Khamis.

Begitu juga jika tarikh tersebut bertepatan dengan hari putih, iaitu 13, 14 atau 15 haribulan dalam kalendar Hijrah.

Dalam keadaan ini, seseorang boleh mengambil peluang untuk melaksanakan puasa sunat hari putih.

Jabatan Mufti Negeri Selangor turut menjelaskan bahawa puasa pada hari Isnin, Khamis atau hari putih lebih baik dijadikan sandaran apabila tarikh tertentu bertepatan dengannya, berbanding menetapkan sendiri puasa khas yang tidak mempunyai dalil khusus.

Jadikan Puasa Sebagai Tanda Syukur

Penghayatan Maulidur Rasul tidak sepatutnya terhenti pada sambutan atau peringatan semata-mata.

Jika ingin berpuasa, lakukanlah dengan niat ibadah yang mempunyai sandaran syarak.

Rasulullah SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, Maulidur Rasul boleh menjadi ruang untuk memperbanyakkan ibadah, termasuk puasa sunat apabila bertepatan dengan hari yang dianjurkan.

Kesimpulannya, Maulidur Rasul tidak mempunyai puasa khas yang ditetapkan oleh syarak.

Namun, berpuasa pada hari tersebut adalah dibenarkan jika dilakukan sebagai puasa sunat yang umum atau bertepatan dengan puasa Isnin, Khamis atau hari putih.

Yang penting, jangan menganggap terdapat satu ibadah puasa khusus bernama “puasa Maulidur Rasul” yang diwajibkan atau ditetapkan oleh Nabi SAW.

Sebaliknya, manfaatkan Maulidur Rasul untuk memperbanyakkan amalan yang mempunyai sandaran syarak serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat diutuskan Rasulullah SAW.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

BACA JUGA: Betul Ke Sambutan Maulidur Rasul Dikategorikan Sebagai Bid‘ah? Mufti Jelaskan Hukum Sebenarnya Menurut Syarak

BACA JUGA: 12 Bacaan Selawat Nabi Sempena Maulidur Rasul, Lengkap Dengan Maksud & Kelebihannya

BACA JUGA: Ramai Sambut Maulidur Rasul, Tapi 4 Amalan Ini Jangan Sampai Dilupakan Jika Benar-Benar Cintakan Nabi SAW

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9