
Dalam ajaran Islam, sakit yang menimpa seorang Muslim itu bukanlah semata-mata penderitaan, tetapi juga bentuk kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa sakit adalah salah satu cara Allah membersihkan dosa hamba-Nya.
Walau bagaimanapun, penghapusan dosa melalui sakit berlaku apabila seseorang itu bersabar dan redha menerima takdir ujian yang diberikan Allah SWT. Kesabaran menjadi kunci utama yang membezakan antara pahala dan keluhan yang sia-sia.
Dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155–156, Allah mengingatkan bahawa ujian akan datang dalam pelbagai bentuk, dan orang yang bersabar akan mendapat rahmat dan petunjuk.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Sakit juga menjadi waktu yang sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam keadaan lemah, hati biasanya lebih lembut dan mudah mengingati-Nya.
Namun, ini tidak bermakna seseorang Muslim itu harus meremehkan kesihatan. Islam menggalakkan umatnya menjaga tubuh badan sebagai amanah.
Mengubati penyakit, mendapatkan rawatan, dan berusaha untuk sembuh adalah sebahagian daripada sunnah. Kesabaran bukanlah berdiam diri tanpa usaha, tetapi menerima takdir sambil berikhtiar mencari penawar.
Kesimpulannya, benar bahawa sakit dapat menghapuskan dosa seorang Muslim, tetapi ia memerlukan kesabaran, keredhaan, dan pengharapan kepada Allah.
Sakit yang ditanggung dengan hati yang bersyukur bukan sahaja membersihkan dosa, malah boleh menjadi jalan menuju darjat yang lebih tinggi di akhirat kelak, InsyaAllah.
Sumber: Portal myHadith